AZIZULHASNI AWANG

Dalam perlumbaan pertama pusingan pertama, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya mampu menduduki tempat keenam dalam saringan kedua yang dimenangi pelumba Belanda mewakili Kelab Beat Cycling, Theo Bos.

Sebanyak empat saringan dilangsungkan dalam pusingan pertama dengan pemenang tempat pertama dan kedua layak secara automatik ke pusingan ke­dua manakala pelumba yang kalah perlu beraksi sekali lagi dalam pusingan pertama repechage.

Hanya pemenang setiap saringan pusingan pertama repechage layak beraksi dalam pusingan ke­dua namun malangnya Azizulhasni, 30, yang kini beraksi sebagai pelumba kebangsaan Malaysia setelah berpisah dengan Kelab CIMB Pro-Cycling sekali lagi tidak bernasib baik apabila hanya mampu menduduki tempat kedua dalam saringan pertama repechage itu.

Kegagalan itu bermakna Azizulhasni memulakan kempennya untuk memungut mata ke Sukan Olimpik menerusi Siri 1 Piala Dunia Trek ini dengan langkah kiri namun masih ada satu lagi acara yang akan disertainya iaitu 200 meter pecut awal pagi esok.

Pelumba Jepun, Yuta Wakimoto muncul juara keirin Siri 1 Piala Dunia Trek ini dengan menewaskan pelumba New Zealand, Edward Dawkins di tempat kedua dan pelumba Poland, Krzysztof Maksel ketiga dalam aksi final selepas itu.

Terdahulu pada hari pertama semalam, Azizulhasni turut di­timpa malang apabila gandingannya bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis dalam acara pecut berpasukan menduduki tempat ke-15 dan tercorot dalam pusingan kelayakan.

Catatan masa yang dilakukan iaitu 45.745 saat jauh lebih buruk daripada rekod kebangsaan yang dirakamkan mereka di Sukan Asia 2018 Indonesia iaitu 43.934s pada pusingan kelayakan dan 44.598s ketika menang perak dalam final.

Kedudukan itu sekali gus menyaksikan trio negara itu gagal layak walau ke pusingan pertama sekali pun kerana hanya lapan pasukan yang mencatat masa terbaik sahaja dalam peringkat kelayakan boleh meneruskan kemaraan.

Trio Belanda menjuarai acara pecut berpasukan lelaki ini dengan catatan 42.939s, menewaskan trio Perancis yang mencatat masa 43.566s dalam final. Gangsa pula menjadi milik trio Rusia (43.771s) yang menewaskan trio Britain (45,171s) untuk penentuan tempat ke-3/4.

Sementara itu dalam kategori wanita, Fatehah Mustapa yang jelas semakin hampir ke penghujung karier seperti dijangka tewas mudah kepada lawannya dalam acara 200 meter pecut.

Selepas mencatat masa ke-27 terpantas daripada 33 pelumba dalam kelayakan untuk membolehkannya mara ke pusingan pertama, Fatehah, 29, gagal memberikan tentangan apabila tunduk kepada pelumba Australia, Kaarle McCulloch dalam saringan kedua.

Acara itu dimenangi pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze yang menewaskan Stephanie Morton dari Australia dalam final.

Pada aksi hari pertama semalam, Fatehah yang bergandingan dengan Farina Shawati Mohd. Adnan turut tenggelam apabila menduduki tempat ke-15 dan tercorot dalam acara pecut berpasukan sama seperti pelumba lelaki negara.

habis.//