Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, pelumba kelahiran Dungun itu jauh ketinggalan dari segi pungutan mata.

Katanya, adalah sia-sia jika Azizulhasni, 30, yang diletak di bawah Program Podium selain mendapat penajaan CIMB pada akhirnya gagal layak secara merit ke Olimpik.

Hanya pelumba yang berada sekurang-kurangnya di ranking ketujuh atau kelapan dunia layak secara automatik pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu Februari 2020.

Ketika ini, Azizulhasni berada di ranking ke-25 dalam 200m pecut dan tempat ke-15 dalam acara yang menghadiahkan pingat gangsa kepadanya dalam Olimpik 2016 Rio, keirin. Bagi pecut berpasukan, Malaysia berada di ranking ke-24 dunia.

“Kebimbangan PKBM ialah selain jurang mata yang agak jauh berbanding lapan pelumba terbaik dalam ranking dunia ketika ini, faktor usia dan kesihatan Azizulhasni juga perlu diambil kira.

“Dengan kata lain Azizulhasni perlu dibantu mulai sekarang untuk memilih dan menyertai sebanyak mungkin pertandingan yang dia mampu dan kena menang seperti yang dilakukan di Piala Asia Trek di China baru-baru ini.

“Jadi Sukan Asia 2018 akan menjadi kayu pengukur permulaan untuk Azizulhasni sama ada dia berpotensi untuk layak atau tidak kerana aksi di Jakarta, Indonesia itu nanti menawarkan mata yang agak banyak untuk Olimpik,” kata Abu Samah.

Sehubungan itu beliau akan berbincang dengan ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley untuk mencari jalan terbaik membantu Azizulhasni dan seorang lagi pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom melayakkan diri.

Ini termasuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah dalam menganjurkan beberapa kejohanan bertaraf kebangsaan, Asia Tenggara atau Asia.

Bagaimanapun itu tidak termasuk Piala Asia Trek yang dianjurkan di Thailand, India, Jepun dan China serta lapan siri perlumbaan Piala Dunia Trek yang diadakan di seluruh dunia.

“Punca ranking Azizulhasni jatuh kerana kegagalannya menyinar dalam Kejohanan Berbasikal Asia pada Februari lalu dan Sukan Komanwel, April lepas yang menyebabkan kurang mata diperolehnya.

“Namun, apabila dia menang Piala Trek Asia di China baru-baru ini, Azizulhasni berjaya melonjakkan dirinya 10 anak tangga dalam ranking pecut dan tiga anak tangga dalam ranking keirin. Maka dia perlu mencatat kemenangan dengan lebih kerap.

“Jadi Sukan Asia 2018 adalah medan terbaik untuk Azizulhasni mencatat kemenangan dan mula meraih mata yang banyak, diikuti Piala Asia kerana untuk menang Piala Dunia Trek atau kejohanan dunia sedikit sukar sebab ada ramai jaguh hebat yang juga mahu layak ke Olimpik,” katanya lagi.