Ini adalah kemenangan pertama yang dilakar Azizulhasni dalam perlumbaan di luar Malaysia sejak merangkul kejuaraan keirin pada Kejohanan Dunia di Hong Kong, tahun lepas.

Dalam saingan keirin hari ini, pelumba berusia 30 tahun yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu mengetepikan dua peserta tuan rumah, Xu Chao dan Wang Yibo dengan mencatat kepantasan 13.569 saat.

Terdahulu, Azizulhasni turut menewaskan Xu Chao dalam dua perlumbaan merebut pingat emas acara pecut semalam selepas mencatat masa 9.895s di Velodrome Taiyuan.

Muhd. Shah Firdaus Sahrom meraih pingat gangsa acara tersebut selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan peserta Kazakhstan, Pavel Vorzhev.

“Alhamdulillah, sekali lagi saya berjaya memenangi pingat emas dalam acara keirin lelaki.

“Agak malang buat rakan sepasukan saya, Shah Firdaus dan Fadhil Zonis kerana terlibat kemalangan dalam perlumbaan mereka.

“Saya gembira berjaya mencatat prestasi yang dimahukan sebulan sebelum Sukan Asia di Jakarta. Sekarang, semua kerja keras sudah dilakukan dan kini masanya untuk saya menikmati perlumbaan saya dalam tempoh dua hari ini.

“Terima kasih atas sokongan semua,” kata Azizulhasni dalam media sosial. - UTUSAN ONLINE