Kini kontinjen Malaysia telah mengumpul lima pingat emas dan perlu mengharapkan baki dua lagi pingat emas hadir dalam pelayaran esok serta skuasy yang bakal berlangsung Sabtu ini bagi merealisasikan sasaran tujuh emas.

Pingat emas yang diraih jaguh berbasikal trek negara itu juga menamatkan penantian 16 tahun tanpa pingat emas Malaysia dalam acara pecut individu Sukan Asia.

Skuad berbasikal trek negara belum pernah memenangi pingat emas dalam acara pecut individu Sukan Asia sejak ia mula dipertandingkan pada 2002 di Busan.

Kata Mohd. Azizulhasni, bukan mudah untuk memenangi acara pecut individu kerana memerlukan semua pelumba melakukan pelbagai muslihat taktikal bagi menewaskan lawan.

“Saya bersyukur kerana perancangan taktikal saya semasa perlumbaan menjadi.

“Ini juga adalah pingat emas buat seluruh rakyat Malaysia yang bakal menyambut Hari Kebangsaan esok.

“Selepas ini saya mahu berehat sebelum berusaha meraih kecemerlangan dalam aksi acara keirin Sukan Asia, esok,” kata Mohd. Azizuhasni.

Kejayaan di Veledrome Antarabangsa Jakarta itu juga membolehkan Mohd. Azizulhani menambah koleksi pingat emas keduanya dalam kempen Sukan Asia selepas mengunguli acara keirin sewaktu temasya 2010 di Guangzhou.

Dalam aksi perebutan pingat emas tersebut Azizulhasni berjaya menewaskan lawannya dari Jepun, Fukaya Tomohiro selepas mengungguli dua perlumbaan akhir.

Sementara dalam aksi penentuan pingat gangsa menyaksikan seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tewas kepada Im Chaebin dari Korea Selatan.