Menurut jaguh menerusi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu, berat jisim ototnya telah bertambah 3kg dan hanya tinggal lagi 2kg untuk mencapai berat 75kg.

Azizulhasni Awang
AZIZULHASNI AWANG

“Saya berjaya tambah 3kg, dengar macam sikit tetapi ia memerlukan kerja kuat dengan senaman dan pengambilan makanan antara enam dan tujuh sehari.

“Dengan kemajuan berat jisim otot, ia sekali gus boleh tambah kekuatan dan tenaga bagi kepada saya bagi menyertai mana-mana kejohanan termasuk di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui selepas Program Cimb Cycle 2019 di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Azizulhasni pernah menyatakan hasrat untuk menambah berat jisim otot daripada 70kg kepada 75kg memandangkan terdapat kelemahan daripada aspek fizikal dan memerlukan jisim otot yang tinggi untuk menjadi lebih kuat dalam menyertai kejohanan.

Pada masa sama, selain berat jisim otot, jaguh dunia itu juga memfokuskan beberapa kejohanan di Eropah antaranya Jerman, United Kingdom dan Ireland pada Jun ini.

Kata Mohd. Azizulhasni, beliau selepas itu bakal menyertai beberapa pertandingan yang berlangsung di negara ini pada September serta kejohanan lain sehingga April tahun depan.

“Selepas itu, barulah kita tahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan ‘Team Azizul’, beliau berkata terdapat tiga nama terdiri anak muda tempatan telah dipilih menyertai pasukan pasukan profesional itu.

Katanya, beliau terkejut apabila terdapat pemintaan pelumba basikal dari Australia untuk menyertai pasukan itu, di samping menjelaskan perkara berkenaan perlu dibincangkan bersama jurulatih.

Terdahulu, Mohd. Azizulhasni bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak melepaskan peluang menyertai kayuhan basikal sejauh 40 kilometer (km).

Sebanyak 3,700 peserta daripada 26 negara telah menyertai Cimb Cycle 2019 yang terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘Endurance’ 160km dan ‘Challenge Ride’ 80km. - UTUSAN ONLINE