HOWARD LEE CHUAN HOW

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How berkata, keputusan tersebut diambil setelah seorang atlet boling padang wanita negeri itu yang berusia 19 tahun disahkan positif beguk semalam.

Katanya, atlet terbabit dikesan mengalami gejala sakit rahang kiri pada Isnin lalu dan telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Sukan Negeri Sembilan pada hari sama sebelum diarah untuk dikuarantin setelah disyaki menghidap beguk.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil sampel mangsa dan menghantarnya untuk dianalisis kelmarin dan kes itu disahkan positif beguk oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh semalam.

“Seramai sembilan atlet dan dua pegawai yang terdedah dengan penyakit itu telah pun pulang ke Negeri Sembilan malam tadi bagi tujuan rawatan dan pemulihan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Howard berkata, bagi acara boling padang campuran, pertukaran seorang atlet dilakukan di mana seorang atlet wanita yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pasukan boling padang negeri itu akan dibawa ke Ipoh.

Katanya, langkah tersebut bagi memastikan pasukan boling padang campuran Negeri Sembilan dapat meneruskan perjuangan dalam acara berkenaan.

“Atlet gantian ini sedang diusahakan di mana atlet ini berkemungkinan tidak terdedah dengan virus itu kerana tidak menjalani latihan bersama pasukan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun salah seorang atlet pasukan futsal wanita Sabah mengalami jangkitan serupa sebelum ini namun kes yang melibatkan atlet boling padang wanita Negeri Sembilan itu adalah kes yang berbeza dan tidak berkaitan langsung.

Katanya, ini kerana siasatan menunjukkan atlet tersebut mempunyai sejarah kontak pada 26 Ogos lalu dengan adiknya yang menghidap penyakit beguk.

“Walau bagaimanapun, sebelum bertolak ke Ipoh, atlet terbabit tidak mengalami sebarang gejala dan sebagaimana yang diketahui penyakit beguk mempunyai masa pengeraman yang panjang iaitu antara 12 hingga 25 hari,” katanya.