Dalam kejohanan Siri Jelajah Dunia Super 1,000 di Istora Senayan, pemain berusia 21 tahun itu menempah pertemuan dengan Chen Long selepas menundukkan wakil Thailand, Khosit Phetradab 21-14, 21-13 di pusingan pertama.

Chen Long, 30, mara ke pusingan kedua apabila menundukkan wakil tuan rumah Tommy Sugiarto 22-20, 14-21, 21-17.

“Ia sesuatu yang bagus dapat mengatasi Khosit hari ini. Gelanggang di sini terdapat tiupan angin yang kuat, jadi ia sedikit sebanyak menyukarkan saya untuk mengawal permainan. Bagaimanapun saya berharap dapat mempelajari sesuatu, hari ini kerana esok saya akan berdepan dengan pemain No. 4 dunia, Chen Long.

“Saya memang menunggu saat seperti ini kerana telah lama menanti untuk berdepan dengan pemain dari China itu dan akhirnya ia tercapai. Saya sangat teruja dan harap saya juga dapat mempelajari sesuatu untuk mencabar pemenang pingat emas Olimpik itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.- UTUSAN ONLINE