Zii Jia, 21, mara selepas mengetepikan bekas pemain No. 1 Korea Selatan, Lee Hyun Il 21-19, 21-16, sekali gus menempah pertemuan getir dengan naib juara Terbuka Malaysia, Jonatan Christie dari Indonesia.

Jonatan, 21, yang kalah kepada Lin Dan dalam final di Bukit Jalil minggu lalu mara selepas berhempas pulas menyingkirkan pemain Thailand, Khosit Phetpradab 21-18, 19-21, 21-18.

Cabaran negara dalam kejohanan bernilai AS$355,000 (RM1.45 juta) itu bagaimanapun gagal diteruskan oleh Liew Daren yang terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 18-21, 20-22 kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Saingan beregu campuran pula menyaksikan pasangan Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengejutkan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 16-21, 21-18, 21-15.

Kian Meng-Pei Jing yang menjadi wakil tunggal negara dalam separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lalu kini akan berdepan satu lagi beregu Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara.

Turut meneruskan cabaran pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan pasangan tuan rumah Hee Yong Kai Terry-Wong Jia Ying Crystal 21-18, 22-20 untuk berdepan Lu Ching Yao-Lee Chia Hsin dari Taiwan esok.

Satu lagi beregu sandaran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menamatkan cabaran pasangan Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami 21-18, 21-16.

Dalam beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan gandingan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin; 8-21, 21-16, 21-18. - UTUSAN ONLINE