Pada ketika Zii Jia dianggap pilihan untuk mengungguli kejohanan, terutama selepas Liew Daren menarik diri akibat kecederaan dan juara bertahan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tidak mengambil bahagian, dia bagaimanapun dikejutkan de­ngan kekalahan 19-21, 14-21 di tangan pemain tidak ternama.

Zii Jia, 21, yang mengetuai senarai calon untuk merebut tiket perseorangan lelaki ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo mengakui, kurang fokus kepada permainan menyebabkan dia melakukan banyak kesilapan.

“Bagaimanapun kekalahan ini tidak mematahkan semangat saya dan bukan satu pengakhiran,” kata pemain No. 27 dunia itu kepada pemberita.

Bagi Eizlan, 22, dia tidak memikirkan tentang kemenangan ketika turun ke gelanggang kerana sudah beberapa kali tewas kepada Zii Jia.

“Sebelum ini saya tewas beberapa kali kepadanya, jadi saya hanya fokus kepada permainan sendiri,” kata pemain Sabah yang menghuni ranking ke-397 dunia itu.

Kecemerlangan Eizlan bagaimanapun gagal diteruskan dalam suku akhir selepas tewas 20-22, 16-21 kepada Lim Chong King.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan Soniaa Cheah mengetuai kemaraan pemain pilihan ke separuh akhir.

Juara remaja dunia, Jin Wei tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan N. Saranya dari Selangor 21-11, 21-9, sekali gus menempah pertemuan dengan lawan yang ditewaskan dalam final Kejohanan Remaja Dunia 2015, Lee Ying Ying.

Ying Ying mara selepas mengalahkan seorang lagi pemain Selangor, K. Letshanaa 17-21, 21-18, 21-19.

Pilihan kedua, Soniaa pula menumpaskan S. Kisona (BAM/Negeri Sembilan) 15-21, 21-11, 21-16 untuk bertemu Lim Yin Fun.