Dalam suku akhir, Chong Wei tewas kepada seterunya Lin Dan 21-16, 21-17 dalam tempoh 51 minit di Arena Birmingham dan pemain China itu akan bertemu rakan senegara Huang Yuxiang pada separuh akhir.

Kata Chong Wei, Lin Dan telah bermain lebih baik berbanding dia, namun kekalahan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi lebih baik sebelum Sukan Komanwel, bulan depan.

"Dalam saingan tersebut saya cuba melakukan serangan tetapi dia (Lin Dan) dapat bertahan dengan baik, semua pukulan saya dia berjaya kembalikan. Strategi permainan saya juga tidak begitu menjadi dalam perlawanan ini," kata Chong Wei.

Kekalahan Chong Wei yang juga juara bertahan perseorangan lelaki pada kejohanan badminton tertua di dunia itu menyebabkan harapannya untuk meraih gelaran kali kelima tidak kesampaian.

Dia tewas kali ketiga berturut-turut kepada Lin Dan sejak Terbuka Malaysia, April tahun lalu. Bagi Lin Dan kemenangan itu merupakan kali ke-28 daripada 40 pertemuan menentang Chong Wei sejak 2004.

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan percaya kekalahan tersebut tidak akan mengganggu fokus Chong Wei bagi menghadapi temasya di Gold Coast, Australia, April ini.

"Chong Wei masih mempunyai dua minggu untuk membuat persiapan sebelum Sukan Komanwel dan kita akan menilai prestasinya di All England bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada," kata Hendrawan.

Dalam pada itu, bagi aksi beregu lelaki pula menyaksikan V Shem-Wee Kiong terpaksa akur dengan kekalahan biarpun bermula dengan baik ketika menentang pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen. Beregu negara tewas dengan keputusan 20-22, 11-21.