Sandaran yang diletakkan kepada dua pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bagaimanapun berkecari di separuh akhir.

Turun sebagai pemain bukan pilihan, Kian Meng-Pei Jing mengetepikan pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 22-20, 14-21, 21-18.

Kemenangan itu bakal menemukan mereka dengan satu lagi beregu Indonesia yang juga pilihan ketujuh, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja yang terdahulu mengejutkan pasangan harapan negara, Peng Soon-Liu Ying dalam aksi sengit 18-21, 21-12, 21-16.

Harapan untuk melihat kebangkitan ditunjukkan beregu lelaki, V Shem-Wee Kiong bagaimanapun tidak kesampaian selepas mereka tumpas kepada bekas juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan juga dari Indonesia 18-21, 21-16, 21-17.

Melihat perkembangan terkini pemain negara dalam Terbuka Malaysia dan Singapura, ia pasti amat membimbangkan, apatah lagi jika kita masih memasang impian untuk memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sesuatu perlu dilakukan segera oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghalang trend pemain kalah awal daripada terus berlaku, terutama menjelang kempen kelayakan ke Olimpik yang bermula bulan depan. - UTUSAN ONLINE