Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, cadangan itu timbul ekoran sukan badminton negara tidak boleh lagi bergantung kepada satu sistem sahaja untuk melahirkan pemain pelapis berkaliber.

"Kita sedia membantu mana-mana kelab badminton yang datang mengemukakan kertas cadangan dan kita akan pertimbangkan apakah bentuk kerjasama yang boleh diberikan kepada mereka.

"Sama ada pemain itu dari Persatuan Badminton Malaysia, Kelab Nusa Mahsuri ataupun kelab-kelab lain itu tidak penting kerana sasaran kita ialah melahirkan jaguh badminton negara di persada dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Mymegamind anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) sempena Festival Belia Putrajaya 2013 di sini, semalam.

Turut hadir Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata, bukan mudah untuk melahirkan pemain pelapis yang benar-benar berpotensi.

"Justeru pemain negara sedia ada perlu membuktikan keputusan-keputusan yang lebih baik (dalam kejohanan) kerana kita tahu bintang sukan sukar diganti," katanya.

Mengulas ketiadaan bintang China dalam Terbuka Malaysia Maybank 2013 yang bermula semalam beliau berkata, Datuk Lee Chong Wei yang muncul juara Terbuka Korea pada Ahad lalu mempunyai tarikan tersendiri.