Pemain No. 2 dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai kempen Malaysia, namun kelibat bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli yang merupakan perseorangan ketiga negara ketika ini tiada dalam senarai yang diumumkan BAM sebentar tadi. Turut tidak terpilih pemain ranking keempat negara, Chong Wei Feng.

Badan induk badminton negara itu sebaliknya memilih pemain muda sedang meningkat, Lee Zii Jia untuk menggalas cabaran perseorangan bersama Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven.

Pemilihan Zii Jia, 20, yang berada dalam pencalonan akhir anugerah Eddy Choong untuk Pemain Harapan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bulan lalu tidak mengejutkan kerana dia bukan sahaja berada dalam ranking kedua (Malaysia) ketika ini, malah mengharungi musim cemerlang sepanjang 2017.

Daripada ranking ke-240 dunia ketika memulakan musim 2017, pemain kelahiran Kedah itu menutupnya dengan berada di kedudukan ke-42 dunia.

Zulfadli, 25, pula berada pada ranking ke-44, manakala Wei Feng, 31, yang berpengalaman beraksi dalam beberapa Piala Thomas, termasuk membantu Malaysia muncul naib juara 2014 berkedudukan keempat dalam kalangan perseorangan negara dan ke-45 di dunia.

Joo Ven berada di ranking kelima Malaysia (66 dunia) dan Iskandar di kedudukan kesembilan (99 dunia).

Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM hari ini turut memberi kepercayaan kepada Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani untuk menggalas cabaran beregu lelaki.

Sementara itu Soniia Cheah akan mengetuai cabaran perseorangan wanita dalam kelayakan Piala Uber bersama Goh Jin Wei, S. Kisona dan Lim Yin Fun.

Melengkapkan barisan beregu wanita adalah Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yeng bersama dua lagi pemain, Yap Cheng Wen serta Goh Yea Ching.

Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Kedah bulan depan digunakan sebagai platform untuk kelayakan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok pada 20 hingga 27 Mei.

Ketiadaan pemain mantap, terutama di bahagian perseorangan menimbulkan kebimbangan Malaysia berdepan risiko gagal melayakkan diri ke Piala Thomas buat kali pertama dalam sejarah. Andai itu berlaku, ia akan menjadi detik hitam buat badminton negara.- UTUSAN ONLINE