Kecemerlangan dalam prestasi sukan banyak bergantung kepada faktor mental sama seperti kepentingan kemahiran fizikal, teknikal atau taktikal kerana apa yang bermain di fikiran serta perasaan seseorang atlet boleh memberi kesan ketara
terhadap persembahan mereka.

Bagi mendalami kepentingan psikologi dalam menyumbang kejayaan atlet, Wartawan Utusan Malaysia ZAZALI JAMIAN menemuramah Ketua Pusat Psikologi Sukan Institut Sukan Negara (ISN), DR. REBECCA WONG yang telah membuktikan kejayaan bidang itu sewaktu membantu beregu campuran, Chan Peng Soon - Goh Liu Ying.

KEJAYAAN beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio telah membuatkan seluruh rakyat Malaysia berbangga kerana pasangan itu mencipta sejarah baharu sukan badminton negara. 

Bagaimanapun di sebalik kejayaan tersebut, tiada siapa tahu bahawa Dr. Rebecca Wong adalah pencetus kepada kebangkitan mereka kerana tanpa terapi perkahwinan yang diterapkan mungkin keserasian Peng Soon-Liu Ying tidak mencapai tahap optimum.

Semuanya bermula pada 2015 apabila Rebecca diminta oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membantu Peng Soon-Liu Ying untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 kerana ketika itu

REBECCA WONG
REBECCA WONG 

pasangan tersebut baru digandingkan semula selepas Liu Ying pulih daripada kece­deraan.

Dalam situasi itu, Psikologi Sukan ISN amat diperlukan pasangan berkenaan bagi mencapai matlamat dan membina kekuatan mental.

“Jurulatih mereka telah menghubungi saya untuk membantu Peng Soon dan Liu Ying kerana misi utama adalah memastikan keserasian dua pemain itu dapat dioptimumkan selepas agak lama tidak digandingkan.

“Selepas mengharungi sesi terapi perkahwinan selama tiga jam di ISN, mereka mula me­nunjukkan keserasian dan semua kekurangan dapat dite­rima dengan baik, malah mereka lebih mengetahui apa diperlukan antara satu sama lain.

“Psikologi adalah bidang yang amat sukar kerana ia melibatkan mental serta tidak boleh dilihat malah untuk mengetahuinya anda perlu berinteraksi dengan pemain sebelum me­nemui penyelesaian terbaik.

“Bagi seseorang atlet, kekuatan mental penting dan itu adalah tugas psikologi sukan untuk memastikan pemikiran mereka tidak terganggu selain sentiasa tenang agar mudah fokus,” kata Rebecca.

Terapi perkahwinan bukan sesuatu yang asing dalam bidang psikologi kerana ia mula digunapakai sejak 1930 malah pelbagai masalah melibatkan pasangan berjaya di­selesaikan de­ngan positif.

Bagi Rebecca, pemilihan terapi yang berunsur perkahwinan amat sesuai digunakan ke atas beregu seperti Peng Soon-Liu Ying kerana objektif utama adalah bagi menyelesaikan konflik peribadi.

Dalam badminton yang melibatkan beregu, pakar psikologi akan memberi mereka pengetahuan asas apa komunikasi yang berkesan atau yang hanya akan menyebabkan konflik menjadi lebih teruk.

“Sewaktu sesi terapi pertama, mereka diberikan penekanan tentang kaedah komunikasi secara lisan dan bukan lisan.

“Komunikasi bukan lisan melibatkan ekspresi muka dan bahasa badan iaitu bersabar dan sentiasa memberi soko­ngan kepada pasangan terutama apabila ada antara mereka melakukan kesilapan di ge­langgang bukannya menyalahkan pasangan,” kata Rebecca.

Ketika Peng Soon-Liu Ying dikalungkan pingat perak Sukan Olimpik 2016, Rebecca adalah individu yang paling gembira.