KHAIRY JAMALUDDIN (kanan) meluangkan masa melawat Lee Chong Wei di rumahnya, hari ini. - IG KHAIRYKJ

Itu reaksi jaguh badminton No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei ketika ditanya oleh Khairy Jamaluddin apakah dia mahu terus bermain selepas selesai menjalani rawatan kanser hidung.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang meluangkan masa melawati Chong Wei di rumahnya hari ini berkata, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik tersebut susut 5 kilogram, terutama otot.

“Saya melawat juara hari ini. Dia kembali daripada rawatan kanser enam minggu di Taiwan. Hilang 5kg, terutama jisim otot. Prognosis (ramalan doktor) adalah bagus. Perlu menguatkan sistem imunnya.

“Saya bertanya, jika dia akan terus bermain. ‘Tidak sabar untuk kembali ke gelanggang’. Itu jawapannya,” tulis Khairy dalam Instagram.

Kata Khairy lagi, Chong Wei, yang akan menyambut ulang tahun ke-36 pada 21 Oktober ini berada dalam keadaan baik, malah semangatnya cukup tinggi.

“Malaysia mendoakan anda pulih sepenuhnya dengan segera,” tulis Khairy lagi. - UTUSAN ONLINE