CHEAH SOON KIT
CHEAH SOON KIT

Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit memberitahu, Sze Fei-Nur Izzuddin merupakan pasangan muda negara yang perlu diberikan pendedahan awal seperti itu kerana mereka adalah pemain yang akan menjadi harapan negara pada masa hadapan.

Katanya, pemilihan mereka dibuat berdasarkan prestasi semasa selain kejayaan menjadi juara dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia, tahun lalu.

“Mereka ini perlukan pendedahan dalam kejohanan berpasukan utama seperti ini supaya dapat belajar menyesuaikan diri dalam pertandingan besar.

“Ini merupakan peluang terbaik mereka untuk menampilkan kemampuan sebenar sekiranya diperlukan,” katanya itu ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini semalam.

Soon Kit yang juga anggota skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Thomas 1992 mengharapkan kesemua pemain beregu lelaki dapat menyumbangkan mata semasa turun beraksi bagi memastikan kemaraan Malaysia di kejohanan yang akan berlangsung pada 6-11 Februari ini.

Katanya, sebagai ketua jurulatih, sememangnya menjadi harapan untuk dia melihat setiap pemain yang menjadi pilihannya menyumbangkan mata dan tidak terhad kepada pemain utama sahaja.