Kegusaran tersebut disuarakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selepas skuad berbasikal dan badminton kebangsaan gagal memenangi pi-ngat emas di temasya itu.

Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk mempersoalkan mengenai sasaran yang telah diletakkan kepada kontinjen negara kerana masih terdapat sukan-sukan yang mampu menyumbang pingat emas sedang berlangsung.

"Saya mengakui kita berdepan tugas sukar untuk menepati sasaran lapan emas selepas skuad basikal dan badminton gagal meraih emas, namun masih terlalu awal kerana kita masih ada pe-nyertaan dalam acara lain.

"Kita masih mempunyai peluang dalam acara terjun, boling dan pelayaran, jadi saya berharap atlet yang mewakili negara dalam sukan tersebut akan berusaha sebaik mungkin dan membawa pulang pingat emas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Khairy, baki atlet negara yang masih bersaing dalam Sukan Asia 2014 di Incheon perlu mempamerkan persembahan terbaik bagi memastikan sasaran negara tercapai.

"Kita sememangnya tidak mendedahkan secara terperinci mengenai sasaran lapan emas tersebut kerana tidak mahu memberi tekanan kepada atlet, namun secara realistiknya acara berbasikal dan badminton adalah diantaranya.

"Sekarang kita ambil pendekatan tunggu dan lihat hingga Sukan Asia 2014 ini berakhir, selepas itu kita akan bentangkan secara terperinci pencapaian atlet negara," katanya.

Dalam pada itu, mengulas aksi hambar regu sepak takraw negara yang tewas kepada Korea Selatan 21-14, 16-21, 10-21 dalam acara antara regu, Khairy berkata perkara tersebut bukanlah sesuatu yang menghairankan.

"Kudis sepak takraw negara sudah bernanah sejak 20 tahun yang lalu, masalah ini berpunca daripada kelemahan pengurusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan mereka (PSM) dan kementerian sedang bekerjasama dalam membangunkan semula sukan ini, sasaran kita adalah sukan sepak takraw negara akan bangkit pada Sukan SEA 2017," katanya.

Kekalahan kepada regu tuan rumah dalam perlawanan pertama Kumpulan B itu menjerat regu negara, kerana mereka mungkin bertemu Thailand dalam saingan separuh akhir andai melepasi aksi kumpulan.

Mengulas prestasi hambar sepak takraw negara yang dikatakan berpunca daripada pengurusan PSM, Khairy berkata, beliau tidak boleh menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk merombak persatuan berkenaan.

"Pemilihan PSM sebelum ini menyaksikan Datuk Ahmad Ismail masih dipilih sebagai presiden PSM, pemilihan tersebut dibuat melalui proses yang betul dan beliau menang dengan majoriti yang besar, mahu tidak mahu kita perlu menerimanya.

"Saya kena bekerja dengan apa yang ada, saya juga telah berjumpa beliau dan kami telah me-rangka pelbagai program untuk memastikan sukan sepak takraw negara tidak lagi merosot prestasinya selepas ini," ujarnya.