Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM di Bukit Kiara hari ini menegaskan, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pengurus pasukan Sukan SEA 2017, Mat Rashid Jahlil tentang isu tersebut.

Ini bermakna Soon Huat, 27, terlepas daripada sebarang hukuman termasuk digugurkan daripada skuad Sukan SEA dan kini boleh menumpukan kembali kepada usahanya untuk menyumbang pingat emas untuk negara bersama pasangannya, Shevon Lai Jemie.

“Kita (C&T) telah mendengar penjelasan daripada pengurus pasukan dan berpuas hati dengan keputusan tersebut (kekalkannya dalam pasukan). Maka di pihak kita tiada tindakan akan diambil.

“Oleh itu kita mahu Soon Huat fokus terhadap persediaan beliau untuk Sukan SEA yang akan datang,” tegasnya yang juga merupakan pengerusi C&T BAM selepas mesyuarat lebih dua jam itu.

Sebagai rekod, isu melanggar perintah berkurung itu didedahkan Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo Isnin lalu bukan sahaja membabitkan Soon Huat tetapi juga penjaga gol futsal wanita negara, Nur Izwani Azman.

Bagaimanapun tiada juga tindakan diambil ke atas Nur Izwani memandangkan pemain itu telah pun digugurkan lebih awal daripada skuad Sukan SEA tetapi bukan dissebabkan melanggar perintah berkurung tersebut, sebaliknya atas faktor prestasi semasa.

Sementara itu, mengenai persiapan skuad badminton Sukan SEA, Norza memberitahu, pihaknya juga telah mendengar penjelasan daripada Morten Frost tentang prestasi pemain secara keseluruhan dengan semuanya berada dalam keadaan baik.

“Kita telah menganalisa prestasi semasa pemain-pemain kita juga cabaran-cabaran yang akan dihadapi,” tambahnya.