Kejayaan tersebut sekali gus menghadiahkan gelaran pertama untuk kalender 2018 dalam sukan badminton negara.

Soon Huat-Shevon yang juga pilihan ketiga kejohanan memenanginya setelah menumpaskan pasangan Denmark Niclas Nohr-Sara Thygesen di pentas akhir dengan keputusan 21-14, 22-20 dalam tempoh 47 minit,

Keputusan tersebut bermakna pasangan negara itu mencatat kemenangan kedua sepanjang dua kali pertemuan dengan Nohr-Thygesen, yang sebelum ini telah mengatasi mereka di Terbuka Denmark pada Oktober tahun lalu.

Shevon, sejurus mara ke peringkat akhir semalam setelah me­nyingkirkan pasangan Korea Selatan Korchoi Solgyu-Chae Yoo Jung, yang juga pilihan kelapan menyifatkan komunikasi yang baik me­rupakan faktor kejayaan mereka.

“Saya dan Soon Huat berkomunikasi dengan baik sepanjang saingan di sini. Kami sama-sama menyokong antara satu sama lain demi meraih kemenangan demi kemenangan,” ujarnya yang telah berjanji untuk memberikan segalanya di pentas akhir.

Mereka kini menjadi pemain Malaysia pertama memenangi Terbuka Jerman sejak ia dipertandingkan pada 2001.

Ia merupakan kejuaraan antarabangsa ketiga bagi Soon Huat-Shevon, namun kemenangan di Jerman itu merupakan yang pertama tahun ini.

Mereka menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Terbuka Scotland pada 2016, sebulan selepas digandingkan bersama.