Bekas kebangsaan, Roslin Hashim memberitahu, tugasan yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Misbun adalah sangat berat kerana adalah mustahil untuknya memberikan impak luar biasa dalam tempoh singkat.

Katanya, Misbun sebelum ini memerlukan masa yang agak lama untuk menjadikan Chong Wei sebagai jaguh handalan dunia.

“Memang tugasan Misbun agak berat tetapi saya tidak pasti sama ada dia memiliki peranca­ngan tersendiri atau sebaliknya.

“Tempoh dua tahun ini agak singkat dan memang susah untuk BAM mendapat hasil yang luar biasa tetapi untuk meningkatkan kualiti permainan pemain sedia ada, mungkin boleh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Misbun yang mengikat kontrak dua tahun dengan BAM, memulakan tugasan rasminya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini Isnin lalu.

Roslin yang juga bekas pemain kebangsaan berharap, barisan pemain sedia ada seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing, Soong Joo Ven dan Lee Zii Jia memanfaatkan peluang daripada berlatih di bawah Misbun.

Katanya, dalam tempoh dua tahun ini, pemain seperti mereka perlu menggunakan kelebihan itu untuk menaikkan kualiti permainan bagi meraih kejuaraan di pentas antarabangsa.

Dia memberitahu, Misbun memiliki sentuhan tersendiri yang mampu memberikan impak positif dalam diri seseorang pemain termasuk dirinya semasa bergelar pemain.

“Memang saya harap sangat pemain-pemain ini menggunakan peluang untuk meraih ilmu sebanyak mungkin daripada Misbun.

“Bagi saya, untuk mendapatkan keputusan luar biasa seperti Chong Wei itu mungkin tidak boleh sebab terlalu singkat tetapi mungkin mereka ini boleh meraih kejuaraan di pentas antarabangsa.

“Saya juga harap tidak jadi seperti sebelum ini, pemain selalu terkandas di pusingan pertama dan kedua sahaja,” katanya.