Mohamad Norza Zakaria

Pada masa sama, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta agar KBS dan Kementerian Pendidikan dapat merangka sistem pembelajaran yang lebih fleksibel kepada para pelajar SSBJ yang bakal ditempatkan di akademi itu bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dari segi akademik.

Katanya, sistem pembelajaran yang lebih fleksibel itu sangat diperlukan memandangkan jarak sekolah mereka ini berada jauh dari akademi tempat mereka berlatih.

Pihaknya menjangkakan pro­ses penyerahan itu akan siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.

“Menerusi penyerahan akademi ini, semua pemain termasuk di peringkat elit, pelapis serta pemain remaja akan ditempatkan dan menjalani kehidupan sepenuhnya di sini.

“Pertemuan antara KBS de­ngan Kementerian Pendidikan ini sangat diperlukan kerana satu sistem pembelajaran baharu untuk pemain-pemain remaja ini sangat diperlukan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Berbanding dengan akademi bola sepak di Gambang, mereka memiliki sekolah berhampiran untuk menempatkan para pelajar tetapi kami tidak memiliki sekolah di sini untuk menempatkan mereka, jadi sistem pembelajaran baharu perlu diwujudkan untuk pelajar di sini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Akademi Badminton Malaysia bakal menjadi sebuah pusat sehenti buat barisan pemain badminton negara dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama, gimnasium, pusat sains sukan serta beberapa kemudahan lain.