Jelas pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio itu, kedua-keduanya juga telah cuba menyelamatkan gandingan yang dibina sejak 2014, namun aksi hambar terus membelenggu bekas beregu No. 1 dunia itu terutama musim ini.

“Saya harap kami dikekalkan...tetapi kami telah cuba melakukan aksi terbaik dalam semua kejohanan sebelum ini, namun masih belum ada keputusan yang bagus.

“Saya pun tak mahu fikir banyak. Tapi saya akui perkara ini serba sedikit menjejaskan prestasi saya. Apa yang perlu saya lakukan ialah kekalkan fokus serta bekerja dengan lebih kuat.

“Sekarang ini saya terima apa jua keputusan daripada BAM. Kalau dipisahkan saya terima sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara BAM dengan Liga Purple Malaysia (MPL) di sini hari ini.

Masa depan pasangan No. 7 dunia itu dijangka akan diketahui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Kali terakhir V Shem-Wee Kiong meraih kejuaraan adalah pada Kejohanan Siri Super Akhir 2016 yang berlangsung di Dubai Disember lalu , sebelum kemarau gelaran bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, V Shem berkata, punca kegagalan mereka beraksi secara konsisten mungkin disebabkan kurangnya keyakinan serta masalah komunikasi diantara kedua-duanya.

“Kami kurang berkeyakinan. Saya juga jarang berkomunikasi dengan Wee Kiong. Saya tak mahu mengulas panjang. Apa pun, sebarang keputusan yang berlaku nanti, saya akan memberi aksi yang terbaik tidak kira siapa pasangan saya,” kata pemain berusia 28 tahun itu.- UTUSAN ONLINE