Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini mengesahkan bahawa pemain berusia 31 tahun itu akan beraksi dalam Sukan Asia bagi menggantikan Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri akibat masalah kesihatan.

Keputusan pemilihan Daren itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang yang ditampilkannya semasa beraksi dalam Kejohanan Dunia di Nanjing minggu lalu.

Katanya, pencapaian itu membuktikan bahawa BAM memilihnya bukan untuk mengisi kuota pemain sebaliknya berdasarkan kepada keupayaan dirinya yang diyakini berupaya membantu kontinjen negara dalam Sukan Asia nanti.

“Saya gembira kerana BAM mengundang saya untuk beraksi dalam Sukan Asia dan ingin saya tegaskan di sini bahawa kehadiran saya bukan sekadar memenuhi kuota pemain.

“Saya juga percaya BAM tidak memilih saya semata-mata untuk memenuhi kuota dan sudah pasti BAM sudah membuat penilaian terbaik sebelum keputusan ini dibuat.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk memberi kejayaan kepada Malaysia. Saya percaya keutamaan harus diberikan kepada negara berbanding diri sendiri,” katanya menerusi laman Instagram miliknya, di sini hari ini.

BAM sebelum ini membuat keputusan untuk menyenaraikan Cheam June Wei untuk menggantikan Chong Wei ke Sukan Asia namun keputusan itu berubah selepas Daren membuktikan dia lebih layak mendapatkan tempat ke temasya itu berdasarkan prestasinya di Nanjing.

Berdasarkan kepada keputusan BAM, Daren bersama Lee Zii Jia diberi kepercayaan untuk beraksi dalam acara individu serta berpasukan.

Kali terakhir Daren bersama pasukan negara ialah pada 2014 ketika menjadi ketua pasukan sewaktu Malaysia menjadi naib juara Piala Thomas di New Delhi selain meraih pingat emas acara berpasukan campuran dalam Sukan Komanwel di Glasgow pada tahun yang sama.