Demikian keyakinan ‘berganda’ yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dengan pene­gasan sudah sampai masa­nya untuk Malaysia merangkul kejohanan dunia yang sehingga ke hari ini masih belum pernah diraih.

Malah jelasnya, untuk menjadi juara, barisan atlet tidak boleh sekadar bergantung nasib mendapatkan undian mudah di kejohanan yang disertai.

“Selepas kita kalah dalam Piala Thomas dahulu kepada Jepun, saya katakan kita tidak cukup bagus tetapi sekarang ini kita bukannya pasukan yang berada dalam kelompok 40 atau 30 atau 20 terbaik tetapi berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Kita tidak boleh sekadar bergantung nasib kepada undian, sebaliknya perlu ada semangat juang luar biasa.

“Selagi belum sampai mata 21, jangan sesekali mengalah. Saya percaya kita akan ada dua atau tiga juara dunia dari Glasgow dan akan meraih lebih daripada dua pingat emas Sukan SEA 2017,” katanya ketika berucap di majlis perhimpunan bulanan pertama BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata, Malaysia tidak boleh lari daripada hakikat bahawa di Kejohanan Dunia di Glasgow pada 21 hingga 27 Ogos ini akan ada ‘cabaran sengit’ empat pemain China serta tiga pemain Denmark dan pemain negara pasti bertembung dengan mereka.