June Wei yang akan mencecah usia 22 tahun pada 23 Januari ini kandas di suku akhir selepas tewas 21-14, 16-21, 8-21 kepada jaguh dari China itu dalam tempoh 51 minit.

Sekali pun tewas, June Wei, yang menghuni ranking ke-85 dunia tidak menganggap ia satu tamparan hebat, sebaliknya menjadikan perlawanan itu sebagai pengajaran berguna demi memperbaiki prestasinya.

“Saya sangat gembira dengan persembahan di set pertama. Saya bermain pantas dan baik, selain banyak melakukan serangan.

“Bagaimanapun di set kedua dan ketiga, Lin Dan menukar corak permainan dan kepantasan menyebabkan saya rasa terlalu penat.

“Apa pun saya gembira dengan pertemuan hari ini kerana saya dapat belajar sesuatu daripada Lin Dan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ini adalah pertemuan sulung kedua-dua pemain.

Pada 2018, Lin Dan, yang kini berada di ranking ke-13 dunia bangkit daripada kekalahan pada babak pertama dalam sembilan perlawanan.

Sementara itu, beregu muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan rakan senegara, Mohd. Arif Latif-Nur Azriyn Ayub 21-8, 21-14.

Mereka kini akan berdepan pilihan kelima dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dalam separuh akhir hari ini.