Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras lebih sejam sebelum menang 21-15, 14-21, 21-16 ke atas pasangan tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul.

Ini adalah kemenangan pertama buat beregu negara itu selepas kali terakhir muncul juara Terbuka New Zealand 2016, malah ini kali pertama mereka beraksi sejak Liu Ying pulih daripada menjalani pembedahan bahu pada Mei lalu.

“Terima kasih kepada semua sokongan anda dan saya harap anda terus memberikan sokongan kepada kami.

“Kami akan terus memberikan yang terbaik biarpun saya sedar kadangkala kami tidak sempurna.

“Kemenangan ini untuk anda semua, terima kasih dan kami akan melakukan yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” kata Peng Soon dalam Facebook.

Kemenangan ini juga menyaksikan Peng Soon-Liu Ying masih menjadi sandaran terbaik untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April ini.

Sepanjang ketiadaan Liu Ying, Peng Soon digandingkan dengan dua pemain muda iaitu Cheah Yee See dan Peck Yen Wei.

Bersama Yee See, dia berjaya muncul juara Terbuka Rusia, selain mara ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Denmark, tahun lalu.

Sementara itu, hasrat pemain perseorangan muda negara, Leong Jun Hao untuk muncul juara tidak kesampaian apabila tewas di tangan Tommy Sugiarto dari Indonesia.

Selepas cemerlang sejak pusingan kelayakan termasuk mengejutkan pilihan keempat dari Hong Kong, Hu Yun pada separuh akhir, Jun Hao terpaksa akur dengan kehebatan Tommy apabila tewas 16-21, 15-21. - UTUSAN ONLINE

KEPUTUSAN (akhir)

Perseorangan lelaki: Tommy Sugiarto (Ina) kln LEONG JUN HAO 21-11, 21-18

Perseorangan wanita: Nitchaon Jindapol (Tha) kln Pornpawee Chochuwong (Tha) 21-11, 21-18

Beregu lelaki : Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash (Tha) kln Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso (Ina) 21-18, 11-21, 22-20

Beregu wanita : Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (Tha) Kln Anggia Shitta Awanda-Ni Ketut Mahadewi Istarani (Ina) 21-19, 21-17

Beregu campuran : CHAN PENG SOON-GOH LIU YING kln Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul (Tha) 21-15, 14-21, 21-16