Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, keadaan Nur Suryani yang berbadan dua bukan halangan memandangkan ketika Olimpik, usia kandungan atlet itu berusia tujuh bulan.

"Dalam konteks perubatan, kandungan yang berada pada trimester pertama yang perlu diberi perhatian lebih, namun ketika Olimpik berlangsung usia kandungan Nur Suryani telah menginjak ke tujuh bulan.

"Jadi sekiranya kandungan tersebut normal, saya tidak melihat ia bakal memberi sebarang masalah buat Nur Suryani untuk beraksi," katanya.

Beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Road To London 2012 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, semalam.

Nur Suryani yang dinobatkan Atlet Terbaik 2011 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) minggu lalu, merupakan satu-satunya penembak negara yang layak ke Olimpik secara merit.

Pemenang pingat emas berganda Sukan SEA XXVI Indonesia itu meraih kuota dalam acara 10m air rifle menerusi Kejohanan Menembak Asia di Doha, Januari lalu.

Namun, dia mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi di London selepas mengetahui dia mengandung tiga bulan.

Bagaimanapun, ekoran daripada kenyataan Dr. Ramlan semalam, impian Nur Suryani untuk mewakili Malaysia ke London nampaknya bakal menjadi kenyataan.

Malah, Dr. Ramlan memberitahu, acara air rifle yang disertai Nur Suryani tidak memerlukan penembak berada dalam kedudukan meniarap dan ia tidak memberi sebarang kesulitan buat penembak negara itu untuk mempamer aksi sebenarnya.

Jawapan Dr. Ramlan turut disokong oleh Ahmad Shabery yang mana beliau berkata, acara air rifle juga tidak terlalu bising, yang boleh menjejaskan kandungan Nur Suryani.

"Saya rasa kita tidak punya sebab untuk halang Nur Suryani daripada beraksi di London kerana dia merupakan penembak terbaik negara.

"Cuma kita akan tetap pantau perkembangannya dari semasa ke semasa," tegasnya.

Mengulas mengenai persiapan terkini atlet ke Olimpik, jelas beliau, setakat ini sebanyak 15 atlet telah mengesahkan tempat mereka ke London 2012 dan pihaknya masih menunggu atlet dari sukan badminton, berbasikal dan juga hoki untuk melepasi kelayakan ke temasya tersebut.