Katanya, masalah yang melanda pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu boleh diatasi tetapi Chong Wei perlu mengenal pasti masalah yang mengganggu fikirannya.

Misbun memberitahu, punca kekalahan itu sebenarnya berasal dari masalah prinsip serta mental dan bukan dari segi fizikal.

“Nasihat saya kepada dia ialah, kaji semula apa yang berlaku dalam diri sendiri kerana dia perlu faham kesemua lawannya sedang mengkaji permainannya.

“Chong Wei tiada masalah dari segi fizikal, dia cukup cergas cuma ada masalah dari segi prinsip. Sebagai contoh dia mungkin terlalu banyak berfikir, usia sudah semakin banyak... mungkin kena perlahankan permainan dan sebagainya tetapi bagi saya, selagi belum kalah jangan ubah apa-apa.

“Dia pernah bergelar Raja Siri Super sebelum ini, saya berharap dia akan menjadi lebih bijak selain menerima kekalahan ini dengan hati terbuka dan terus bekerja keras kerana ini cuma satu perlawanan sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jaguh perseorangan negara itu dilanda kekalahan awal berturut-turut selepas terkandas seawal pusingan pertama Siri Super Terbuka Perancis semalam apabila tewas kepada pemain pusingan kelayakan Kenta Nishimoto dari Jepun 21-14, 21-15.

Kekalahan di peringkat awal itu merupakan yang kedua buat Chong Wei dalam tempoh kurang dua minggu selepas mengalaminya di pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Denmark kepada pemain bukan pilihan dari India, H.S Prannoy 17-21, 21-11, 19-21.

Legenda badminton negara Misbun memberitahu Chong Wei masih boleh meneruskan aksi dalam Siri Super Premier Terbuka China dan Siri Super Terbuka Hong Kong seandainya masih memiliki kemahuan serta membuat persiapan rapi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Chong Wei perlu membuang sebarang gangguan terhadap fikirannya.