Tiga nama ini tetap menjadi sebutan setiap kali ditanya siapa atlet paling berpotensi menyumbang pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bukan tidak yakin tetapi melihat situasi semasa Chong Wei dan Jun Hoong, ia sedikit membimbangkan apabila memikirkan kedua-duanya tetap menjadi sandaran pada ketika keadaan mereka tidak menentu.

Selain bakal menginjak usia 38 tahun pada 2020, keadaan Chong Wei sendiri ketika ini agak membimbangkan kerana baru memulakan latihan Isnin lalu selepas enam bulan berehat akibat kanser hidung.

Jun Hoong, 29, pula hanya dijangka kembali pada pertengahan tahun ini selepas menjalani pembedahan lutut.

Azizulhasni, 31, masih berjuang mencari tiket ke Tokyo tetapi berbanding Chong Wei atau Jun Hoong, keadaannya lebih meyakinkan.

Melihat prestasi Sukan Malaysia sepanjang 2018, memang sukar untuk memikirkan nama lain, selain tiga ikon ini sebagai prospek pingat.

Ini adalah realiti selepas Malaysia gagal mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel dan meraih prestasi ‘cukup-cukup makan’ pada Sukan Asia.

Mungkin di kolam renang, kita masih boleh berharap kepada Pandelela Rinong kerana dia adalah gandingan Jun Hoong ketika meraih perak terjun platform seirama di Rio 2016, selain gangsa individu di London 2012.

Begitupun di gelanggang badminton, situasi mencemaskan.

Ada yang menyebut nama Goh Jin Wei selepas remaja berusia 18 tahun ini melakar kejayaan sensasi meraih emas dalam Sukan Olimpik Remaja, selain merangkul gelaran remaja dunia buat kali kedua, tahun lalu.

Jin Wei memang berpotensi tetapi untuk me­nyasarkan pingat di Olimpik adalah keterlaluan.

Di Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menghadirkan perak tidak diduga buat badminton, namun kini mereka tidak lagi bernaung di bawah BAM, malah tidak punya pencapaian me­yakinan akhir-akhir ini.

Suka atau tidak, orang masih melihat Chong Wei sebagai prospek.

Apa pun, dalam tempoh 18 bulan menjelang Olimpik yang bermula pada 24 Julai 2020, apa sahaja boleh berlaku.

Mungkin, bukan hanya Jin Wei tetapi Malaysia dapat melahirkan calon juara tidak diduga seperti Lee Zii Jia atau Mohd. Arif Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub.

Arif-Azriyn yang merupakan beregu bebas menjuarai Terbuka Rusia tahun lalu, manakala Zii Jia, 21, satu-satunya perseorangan lelaki yang menutup kempen 2018 dengan kejuaraan iaitu Terbuka Taiwan.

Selain atlet, Program Podium yang kini di bawah MSN juga menjadi tumpuan kerana misi ‘agung’ program tersebut yang diwujudkan pada 2016 dengan peruntukan ketika itu RM76 juta adalah melahirkan juara ­Olimpik pertama Malaysia.

Apakah impian untuk melihat juara Olimpik pertama dapat direalisasikan pada 2020? Harap Chong Wei, Jun Hoong dan Azizulhasni terus gagah, dan moga ada hero baharu dapat dilahirkan 18 bulan dari sekarang.