Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau tidak faham mengapa Chin Chai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Teknikal BAM membangkitkan isu berkenaan kerana keputusan tersebut dibuat bersama dalam Jawatankuasa Kerja Badminton yang lalu.

“Sukalah dijelaskan bahawa ia bukan keputusan MSN semata-mata, tetapi, ia adalah keputusan Jawatankuasa Kerja Badminton yang turut dianggotai oleh tiga wakil BAM termasuk Datuk Ng Chin Chai sendiri.

“Semua pemain badminton yang dicadangkan oleh BAM telah ditapis dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Atlet yang dianggotai oleh MSN, MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara).

“Seterusnya ia dibentangkan ke Jawatankuasa Kerja Badminton bagi ditawarkan untuk mengikuti Program Latihan Atlet 2019 supaya dapat ditentukan jumlah peruntukan yang perlu disediakan kerajaan melalui MSN kepada BAM.

“Apatah lagi, BAM akan menggunakan peruntukan yang diberikan oleh MSN untuk mereka menyediakan skim elaun dan insentif mereka sendiri. Justeru, terpulang kepada BAM untuk letakkan pemain mereka waima dalam tier mana sekalipun berasaskan skim mereka sendiri,” kata Ahmad Shapawi.

Semalam, Chin Chai selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM di Axiata Arena memberitahu, sukar untuk menerima keputusan MSN apabila memutuskan Goh Jin Wei hanya berada pada tahap tiga sedangkan beliau berpendapat, pemain itu layak berada pada tahap satu.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya juga sedia berbincang semula dalam Jawatankuasa Kerja Badminton yang akan datang dan berharap BAM membawa usul berkenaan.

“BAM adalah salah satu sukan yang mempunyai rakan penaja yang terbesar, malah, melebihi peruntukan yang disediakan oleh MSN kepada mereka dan seharusnya kita akur dengan sebarang keputusan mereka sendiri. MSN hanyalah salah satu penyumbang kecil dalam BAM,” tegasnya.