Pemain berusia 35 tahun itu memberitahu, dia bergandingan bersama Prajakta bemula tahun lalu dan berjaya melayakkan diri ke kejohanan itu secara merit selepas menampilkan prestasi luar biasa.

“Sudah tentu saya bangga sebagai pemain Akademi Badminton New Vision (NVBA) layak secara merit ke kejohanan ini.

“Kami berharap mampu memberikan yang terbaik dan sudah pasti bonus yang dijanjikan penaja juga memberikan saya motivasi tinggi untuk beraksi cemerlang di sana,” katanya.

Fleet International menjanjikan bonus RM20,000 jika berjaya ke suku akhir, RM50,000 untuk separuh akhir dan RM100,000 bakal menanti seandainya mampu merangkul gelaran juara dunia.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin, Yogendran-Prajakta akan bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin di pusingan pertama.

“Undian agak baik buat kami tapi ini adalah Kejohanan Dunia kerana ia sangat berprestij, tidak ada siapa boleh mengambil mudah.

“Siapa yang melakukan persiapan dengan baik belum tentu boleh berjaya jika tiada kekuatan mental,” katanya.