Katanya, tidak dapat dinafikan setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri tetapi penilaian perlu dibuat bagi melihat pemain yang berpotensi untuk menjadi juara di kejohanan antarabangsa.

Beliau memberitahu, perubahan drastik terhadap rejim latihan pemain tidak boleh dilakukan kerana setiap pemain memerlukan latihan khusus yang berbeza-beza.

“Sekarang ini saya cuba nak ‘jentik-jentik’ mereka, saya mahu lihat reaksi pemain bagi menilai ‘senjata’ yang dimiliki, stamina, teknik dan kebijaksanaan mereka.

“Ada antara mereka ini bermain untuk diri sendiri, bukan untuk jurulatih, ada yang bermain sebagai pemain kebangsaan dan bukan untuk jadi juara, jadi saya perlu perhalusi semua cara untuk menerapkan kelebihan potensi yang ada dalam diri mereka.

“Sekarang ini sekadar nak uji mereka untuk melihat beberapa faktor penting dalam diri mereka... ada beberapa pemain bukan semua pemain yang saya jalankan ujian,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini baru-baru ini.

Legenda badminton negara itu mengakui, terdapat pelbagai karakter dalam diri pemain pada waktu ini dan semua itu perlu diperhalusi bagi menentukan peranan mereka dalam skuad kebangsaan.

“Dalam kalangan mereka ini ada yang smash kuat tetapi tiada teknik, fizikal kuat tetapi teknik kurang, kecergasan kuat tetapi otak tidak berfungsi dengan baik...ini semua perlu dinilai.

“Melalui cara ini saya boleh melihat mana pemain yang boleh menang kejuaraan antarabangsa, perlu diingatkan tidak semua pemain boleh menjadi juara.

“Kita perlu lihat kelebihan dimiliki untuk menentukan pemain yang boleh curi kejuaraan, pemain boleh bantu latihan, pemain yang boleh bantu pemain lain menjadi juara dan pemain yang akan memainkan peranan sebagai pengacau dalam kejohanan,” katanya.