Hari ini, semua nama-nama yang disebut sebagai calon untuk menyumbang pingat pada temasya Tokyo 2020 tumbang satu demi satu.

Selepas Lee Zii Jia ditunjukkan jalan keluar semalam, hari ini juara remaja dunia, Goh Jin Wei pula menerima nasib serupa dalam perseorangan wanita, diikuti beregu lelaki harapan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Hanya dua wakil negara meneruskan cabaran pada kejohanan bernilai AS$700,000 (RM2.86 juta) itu, kedua-dua­nya beregu campuran iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Jin Wei, 19, bukan tewas kepada pemain utama, sebaliknya di ta­ngan pemain No. 21 dunia dari Thailand, Pormpawee Chocuwong 16-21, 21-12, 10-21.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, V Shem-Wee Kiong pula tumpas kepada pilihan ketiga dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-10, 13-21, 9-21.

Sandaran yang diletakkan kepada pasangan muda, Aaron-Wooi Yik juga tidak kesampaian apabila kalah mudah 9-21, 16-21 kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang kini dibim­bing bekas jurulatih kebangsaan, Tan Kim Her.

“Kami perlu segera perbaiki kelemahan jika ingin mendapat tempat ke Sukan Olimpik.

“Memang kami kurang konsisten sejak kebelakangan ini dan ini masalah utama yang perlu diatasi,” Wee Kiong.

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying menewaskan pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 21-13, 21-14 untuk bertemu pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Kian Meng-Pei Jing pula berhempas pulas menewaskan beregu India, Pranaav Jerry Chopra-N. Sikki Reddy 15-21, 21-17, 21-13.