Gagal mendapatkan kemenangan daripada aksi pembukaan Kumpulan D itu bermakna, Malaysia kini wajib mengalahkan juara 14 kali, China pada perlawanan kedua esok jika mahu meneruskan cabaran.

Melihat kepada prestasi, sejarah, rekod dan statistik, ia ibarat misi mustahil, namun bagi pemain beregu negara, Vivian Hoo apa sahaja boleh berlaku dalam acara berpasukan.

"Menentang China memang sukar tetapi cabaran harus diteruskan dan kami kena turun berjuang.

"Dari kami hendak curi mata? Sukar untuk katakan...ia terbuka buat semua orang, siapa yang bermain baik mungkin boleh melakukan kejutan," kata ketua pasukan negara itu.

Malaysia mempamer semangat juang tinggi di Impact Arena hari ini, malah mendahului 1-0 menerusi Soniia Cheah yang menewaskan Fitriani Fitriani 10-21, 21-17, 21-14 dalam perseorangan pertama.

Pemain muda negara, S. Kisona juga mencuri tumpuan apabila mengutip mata dalam perseorangan ketiga selepas mengalahkan Ruselli Hartawan 21-23, 23-21, 21-13.

Bagaimanapun kekalahan yang dialami beregu pertama, Goh Yeah Ching-Lee Meng Yean, perseorangan kedua, Goh Jin Wei serta beregu kedua, Vivian-Chow Mei Kuan meranapkan peluang Malaysia.

Yeah Ching-Meng Yean tewas 13-21, 14-21 kepada Greysia Polii-Apriyani Rahayu, Jin Wei tunduk 20-22, 16-21 di tangan Gregoria Mariska Tunjung sebelum Vivian-Mew Kuan akur dengan dengan kekalahan 22-24, 22-20, 12-21. - UTUSAN ONLINE