Namun, itulah yang membaya­ngi pasukan negara selepas ketiadaan skuad mantap meletakkan Malaysia dalam risiko gagal layak buat kali pertama tahun depan.

Aksi kelayakan akan berlangsung di depan penyokong sendiri apabila Alor Setar dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Asia 2018 dari 6-11 Februari, dan kejohanan itu dijadikan platform kelayakan Piala Thomas serta Uber di Bangkok.

Dengan kehadiran China, Indonesia, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan, Malaysia dilihat antara pasukan paling lemah untuk ke separuh akhir - slot yang akan memberi tiket automatik.

Malaysia terlalu bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki, manakala kekuatan beregu belum diketahui selepas pemenang pi­ngat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dipisahkan baru-baru ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun percaya, pasukan negara masih mempunyai masa untuk mempersiapkan pasukan mantap.

“Malaysia sentiasa dikenali sebagai antara kuasa besar sukan ini.

“Kita juga ada kualiti untuk layak secara merit namun perlu bekerja keras,” katanya selepas maj­lis menandatangani perjanjian Kejohanan Berpasukan Asia 2018 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut hadir dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Celcom Axiata Berhad, yang disaksikan oleh Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor.