Selepas cemerlang menumpaskan juara 2006 dan 2013, Korea dalam aksi separuh akhir, skuad muda negara bagaimanapun akan berdepan ujian lebih besar dalam misi merangkul kejuaraan pertama sejak 2011 apabila bakal menentang juara bertahan, China.

China yang mengecewakan Malaysia tahun lalu mara selepas menumpaskan Jepun 3-1.

Beregu campuran, Ng Eng Cheong-Tan Sueh Jeou menghadiahkan mata pertama Malaysia setelah menumpaskan Jeong Min-Kim Seong Jae 21-9, 21-12.

Rentak tersebut diteruskan oleh Leong Jun Hao yang mengalahkan Ki Dong Ju 21-6, 21-19 dalam perseorangan lelaki, sebelum bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei mengesahkan kemenangan dengan menumpaskan An Se Young 21-16, 21-19 dalam perseorangan perempuan.

“Tahun lepas kita masuk final jumpa China, tapi kalah. Saya sangat bangga dengan pencapaiann pemain-pemain remaja kita yang telah mengalahkan Korea 3-0 di separuh akhir.

“Semua pemain kita telah mengalahkan lawan masing-masing dengan straight-set. Ia sekali gus menunjukkan program pembangunan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) bertaraf dunia.

“Saya harap kita boleh merampas kejuaraan dari China,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Menanti skuad kebangsaan di pentas akhir esok sama ada China atau Jepun.

Untuk rekod, Malaysia yang pernah muncul juara tahun 2011, pernah mara ke final empat kali pada 2009, 2011, 2016 dan 2017. - UTUSAN ONLINE