Bagaimanapun, BAM berharap liga tersebut tidak hanya bersifat sementara, sebaliknya mampu menjadi acara tahunan.

Liga yang julung kali dianjurkan itu mendapat sokongan daripada Airasia Berhad yang tampil selaku penaja utama dengan nilai tajaan berjumlah RM1 juta, dan penaja bersama iaitu Enra Berhad nilai tajaan sebanyak RM500,000, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) RM250,000.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya menganggarkan seramai 5,000 peserta di bawah usia 18 tahun akan terbabit dengan liga yang bermula di peringkat akar umbi itu.

“Saya tidak mahu liga ini bersifat seperti kata pepatah ‘harap kan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari iaitu hilang secara tiba-tiba. Kita bukan mahu adakan kejohanan ini bukan satu tahun tetapi untuk tahun-tahun akan datang.

“Menariknya liga ini ialah ia bermula daripada peringkat akar umbi, bukannya terus pergi ke peringkat kebangsaan.

“Kejohanan ini akan bermula di peringkat sekolah di setiap negeri sebelum yang terbaik akan bersaing di peringkat kebangsaan untuk merebut tempat mewakili negara pula,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BAM, di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu majlis pelancaran liga itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri yang juga Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Sementara itu Norza berkata, liga yang bermula September depan sehingga Januari tahun depan itu akan menggunakan format acara berpasukan Piala Thomas dan Uber.

“Kami akan menjalinkan kerjasama yang rapat dengan pihak sekolah untuk membolehkan liga ini berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung perjalanan program Akademi Badminton Negara, Norza menjelaskan bahawa beliau akan berusaha keras untuk meletakkan semua pemain di bawah BAM berada di satu bumbung menjelang Januari tahun depan. “Kita telah melihat perkembangan akademi dan seperti yang saya cakap sebelum ini, untuk membawa kesemua pemain-pemain di bawah BAM untuk berada di satu bumbung pada Januari 2018 bukan perkara yang mudah.

“Pertama kita perlu mendapat bangunan itu daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan proses untuk menandatangani MoU (memorandum persefahaman) dalam proses menetapkan tarikh, dan kita juga perlu masih berbincang dengan (Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai persekolahan pemain-pemain itu.

“Kita harap KPM akan ada satu formula terbaik untuk melaksanakan sesi persekolahan di dalam akademi tersebut dan jadual pembelajaran mengikut acuan BAM,” ujarnya.

Tambahnya, BAM meminta kerjasama dengan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dari segi pemakanan sukan dan penginapan serta memohon Institut Sukan Malaysia (ISN) untuk membuka satu pusat hentian setempat di akademi itu dengan tujuan penerapan pembangunan sains sukan.