Namanya diumumkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas majlis penyerahan penajaan kasut Power bernilai RM130,000 kepada kontinjen negara ke temasya ke-18 itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

“Kami sudah buat keputusan untuk menggantikan Chong Wei dengan Daren dan terus masukkan namanya dalam mesyuarat pendaftaran delegasi hari ini di Jakarta.

“Sekarang kita ada dua perseorangan lelaki, Daren dan Lee Ji Zhia,” katanya, merujuk persembahan luar dugaan malah cemerlang Liew yang mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia BWF di Nanjing, China minggu lalu.

Mengenai kemungkinan Daren masih dibelenggu kecede­raan ketika memenangi suku akhir dengan set penentuan, menewaskan Kanta Tsuneyama dari Jepun, Presiden MOM itu berkata pihaknya sudah mendapat pengesahan daripada pemain itu untuk menyertai kem latihan skuad negara mulai minggu depan.

Ditanya sama ada sasaran BAM bakal berubah dengan kemasukan Daren, Norza menegaskan sasaran tetap sama iaitu memenangi sebarang pi­ngat tanpa mengira warna kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain.

“Kami masih dengan sasaran iaitu membawa pulang sebarang pingat tanpa mengira warna. Kami pun tidak mahu berikan tekanan yang tidak perlu kepada pemain,” katanya.

Norza turut mengumumkan bahawa pemain beregu campuran Goh Liu Ying yang me­ngalami kecederaan tumit sudah mendapat kelulusan Institut Sukan Negara untuk turut beraksi dengan gandingannya Chan Peng Soon dalam Sukan Asia.

Sementara itu, Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi enggan mengulas mengenai sasaran emas Malaysia termasuk untuk mengesahkan sama ada angkanya akan mengatasi pencapai­an lima emas di Incheon, empat tahun lalu.

Abdul Azim turut mengumumkan jumlah atlet negara berkurangan seorang lagi apabila S. Senthil Kumaran (karate 55 kilogram) disahkan tercedera selepas Chong Wei dan Choong Jun Hoong (terjun) menarik diri.