Walau bagaimanapun Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara itu masih di peringkat pertimbangan kerana pihaknya memerlukan masa beberapa hari lagi untuk membuat keputusan muktamad mengenainya.

“BAM memang bangga dengan pencapaian Daren memandangkan dia hanya seorang pemain bebas yang tidak bernaung di bawah BAM.

“Oleh itu selepas berbincang dengan Setiausaha Kehormat, Datuk Ng Chin Chai, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM bersedia mempertimbangkan Daren untuk ke Sukan Asia bagi terus menyokong dan memperkembangkan kariernya.

“Tetapi beri kami masa beberapa hari lagi untuk buat keputusan termasuk pemain yang akan digantikan Daren nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima penajaan tiket kapal terbang Air Asia untuk pemain BAM berjumlah RM1 juta setahun dalam majlis di KLIA2, di sini hari ini.

Di bawah penajaan itu, syarikat penerbangan tambang murah tersebut bersetuju menaja untuk tempoh tiga tahun ke mana-mana destinasi di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Norza menjelaskan, antara pemain yang ada dalam bayangannya untuk kemungkinan digugurkan bagi memberi ruang kepada Daren adalah dua pemain muda.

“Kita tengok nanti kerana mungkin Cheam June Wei atau Soong Joo Ven,” tegas Norza.

Jun Wei adalah pemain yang baharu diumumkan Norza minggu lalu bagi menggantikan Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan.