Dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan negara itu tewas 13-21, 17-21 kepada pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping dalam tempoh 35 minit.

Pei Jing me­ngakui, kekalahan itu mendedahkan betapa besar jurang antara mereka dan pasangan kelompok tiga terbaik dunia.

“Walaupun kalah, kami merasai pengalaman bermain di peringkat tertinggi, kami sedar banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk mengejar pasangan terbaik dunia.

“Setiap pemain ada turun naik tetapi kami harap dapat meneruskan permainan baik minggu ini dalam kejohanan seterusnya,” kata Pei Jing.

Cabaran Kian Meng-Pei Jing selepas ini adalah Terbuka Singapura.

Sementara itu, perlawanan akhir perseorangan lelaki bakal menemukan dua jaguh China iaitu juara dunia lima kali, Lin Dan dengan juara Olimpik, Chen Long.

Lin Dan mara selepas mengetepikan rakan senegara, Shi Yuqi 21-19, 16-21, 21-12.

Chen Long pula mengecewakan pemain Indonesia, Jonatan Christie 12-21, 21-10, 21-15.

Perseorangan wanita me­nyaksikan pemain No.1 dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying mara ke final selepas menewaskan Chen Yunfei 21-14, 21-19.

Dia akan berdepan berdepan Akane Yamaguchi dari Jepun yang menundukkan Nozomi Okuhara 21-15, 22-20.

Sementara itu, perlawanan akhir beregu wanita pula menemukan dua pasangan China, Du Yue-Li Yinhui dan Chen Qingchen-Jia Yifan.

Yue-Yinhui menewaskan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-12, 21-14.

Qingchen-Yifan pula mara selepas mengalahkan rakan senegara, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun 21-14, 21-18.

Dalam saingan beregu lelaki, pilihan kedua dari China, Li Junhui-Liu Yuchen akan berdepan pilihan ketiga, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun.

Junhui-Yuchen mara selepas menumpaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 13-21, 21-19, 21-15.

Kamura-Sonoda pula me­numpaskan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-13, 22-20.

Terbuka Malaysia yang bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 menawarkan hadiah AS$700,000 (RM2.86 juta).