Memulakan kempen dari pusingan kelayakan dan hanya berkedudukan ke-86 dunia, Iskandar berjaya mengheret permainan ke set ketiga sebelum akur 21-18, 10-21, 19-21 di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menafikan hajat pemain dari Johor itu untuk meneruskan kejutan dalam kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.36 juta) selepas sebelum ini mengetepikan pemain No. 3 dunia, K. Srikanth pada pusingan kedua.

Begitupun aksi memberangsangkan yang dipamer Iskandar sepanjang minggu ini memberi harapan kepada Malaysia untuk mencatat keputusan positif dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar minggu depan yang menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas.

Iskandar, 27, akan turun sebagai perseorangan ketiga Malaysia dalam kejohanan yang turut diperkuatkan oleh Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, perlawanan akhir perseorangan lelaki Terbuka India esok akan menemukan Yuqi dengan pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen. Tien Chen mara selepas mengalahkan seorang lagi pemain China, Qiao Bin 23-21, 21-16.- UTUSAN ONLINE