Chong Wei, 35, yang bakal membuat penampilan terakhir pada Kejohanan Dunia dijangka berdepan pemain yang mengecewakannya dalam final Sukan Olimpik di Rio tahun lalu, Chen Long di peringkat suku akhir.

Jaguh China itu, yang turun sebagai juara bertahan dan kini menghuni ranking kelima turut mengecewakan Chong Wei dalam final Kejohanan Dunia di Jakarta pada 2015.

Chong Wei, 35, masih gagal merangkul gelaran pertama selepas lapan kali mencuba dan empat kali memasuki final, malah bakal membuat percubaan terakhir untuk memenangi kejua­raan pada 21 hingga 27 Ogos.

Sementara itu. pemenang pingat perak Sukan Olimpik, V Shem-Wee Kiong pula berpotensi menentang pasangan No. 1 dunia, Li Junhui-Liu Yuchen dari juga seawal suku akhir.

Dengan prestasi tidak menentu yang dipamerkan beregu No. 5 dunia itu, menentang Junhui-Yuchen ujian adalah ujian amat getir, apatah lagi mereka tumpas kepada pasangan China tersebut dalam dua pertemuan terakhir tahun ini iaitu dalam Terbuka India pada 31 Mac (15-21, 17-21) dan All England, 10 Mac (19-21, 21-17, 19-21).

V Shem-Wee Kiong menerima bye pada pusingan pertama dan bakal berdepan pemenang antara Cheung Eui Seok-Kim Dukyoung dari Korea Selatan atau Manu Attri-Reddy B. Sumeeth dari India pada pusingan kedua.

“Kemungkinan bertemu Chen Long di suku akhir boleh dianggap satu cabaran buat Chong Wei.

“Kita tahu dia bukanlah pemain No.1 dunia ketika ini tetapi dia perlu berwaspada serta cari jalan untuk kuasai perlawanan,” kata Ketua Jurulatih Perseorangan Kebangsaan, Datuk Misbun Sidek.

Misbun bagaimanapun percaya, pengalaman luas dalam saingan Siri Super boleh membantu Chong Wei mengharungi kejohanan itu.

“Saya akui kekuatan mentalnya luar biasa tetapi orang lain juga turut menjalani latihan keras, namun lebih 60 kejuaraan yang diraih dalam Siri Super mampu membantu Chong Wei.

“Secara peribadi saya mahu bantu dia julang kejuaraan dunia sulungnya. Apabila saya pegang sesuatu tugas, saya ada visi tersendiri,” kata Misbun lagi.

Dalam majlis undian yang di ibu pejabat Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) di Kuala Lumpur hari ini, Chong Wei turut diundi bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez pada pusingan pertama.

Jika mara ke pusingan kedua. dia bakal bertemu sama ada Misha Zilberman dari Israel atau pemain Croatia, Zvonimir Durkinjak.

Ujian sebenar Chong Wei hadir pada pusingan ketiga apabila dia dijangka berdepan pilihan ke-10, Tian Houwei dari China.

Bagi Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen, seandainya Chong Wei berjaya ke final dan menempah pertemuan dengan jaguh China, Lin Dan ia dianggap perlawanan paling epik di penghujung karier kedua-dua pemain.

“Aksi final antara Chong Wei dan Lin Dan mungkin berlaku, saya tidak menolak kemungkinan tersebut. Sudah pasti ia menjanjikan satu perlawanan yang menari,” katanya.

Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli juga berdepan laluan berliku apabila dijangka bertemu pemain No. 1 dunia, Son Wan Ho dari Korea Selatan seawal pusingan ketiga.

Turut menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan di Glasgow adalah beregu lelaki, Kah Ming Chooi-Low Juan Shen, selain beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang diletak sebagai pilihan kelapan.