Kedua-dua pasangan negara itu dilihat masih bergelut untuk mencari rentak permainan dengan mereka mengakui, masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

Mei Kuan-Meng Yean dan Vivian-Cheng Wen masing-masing diberikan bye bagi pusingan pertama dan perlawanan pusingan kedua, semalam merupakan perlawanan pertama mereka di Basel.

Mei Kuan-Meng Yean berjaya melepasi pusingan awal dengan menundukkan pasangan Taiwan, Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang 21-15, 21-13 untuk bertemu pilihan ketiga, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi yang mara selepas mengetepikan Setyana Mapasa-Gronya Somerville 21-11, 21-12.

Vivian-Cheng Wen berjaya menundukkan Chanayit Chaladchalam-Phataimas Muenwong 21-18-21-16 untuk bertemu pilihan ketujuh, Du Yue-Li Yun Hui yang mara selepas menewaskan Ashwini Ponnappa-N. Sikki Reddy 22-20, 21-16.

“Kami agak gugup dalam perlawanan ini. Ia mungkin berpunca daripada kegagalan kami menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Kami akan cuba perbaiki segera kelemahan ini bagi membolehkan kami terus mara,” kata Meng Yean.

Sementara itu, Vivian, pemain paling berpengalaman di dalam pasukan kebangsaan mengakui sangat gembira kerana berjaya melepasi pusingan itu dan berharap kejayaan itu dapat diteruskan dalam perlawanan selepas itu.

“Saya merasakan permainan saya agak kurang baik kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan gelanggang.

“Bagaimanapun, saya percaya perkara ini dapat diselesaikan dalam perlawanan seterusnya,” kata Cheng Wen.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi naib juara All England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mereka terkandas di pusingan kedua selepas tunduk kepada Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-14, 17-21, 18-21.-UTUSAN ONLINE