Bekas jurulatih beregu kebangsaan yang kini berkhidmat bersama skuad kebangsaan Jepun, Tan Kim Her mengakui sangat teruja dengan persembahan yang ditampilkan pasangan muda itu khususnya ketika beraksi di All England, sebelum ini.

Katanya, pada usia yang muda mereka mampu menyerlah di pentas kejohanan besar namun keadaan menjadi berbeza di Terbuka Malaysia kerana peminat meletakkan harapan terlalu besar membuatkan mereka gugup untuk beraksi dengan baik.

“Memang saya kagum dengan mereka, memang saya gembira melihat taktikal permainan mereka dan semasa All England, mereka memang luar biasa.

“Di sini mereka memang nampak agak tertekan, mungkin harapan yang diletakkan kepada mereka terlalu tinggi tetapi saya percaya mereka ada peluang yang baik,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Mengulas mengenai perkembangan acara beregu lelaki menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kim Her memberitahu, buat masa sekarang tiada mana-mana pasangan yang konsisten kecuali gandingan No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia.

“Saingan ketikan ini sememangnya terbuka, sesiapa yang bermula dengan baik, mereka akan menang,” katanya yang kini mengendalikan empat pasangan Jepun termasuk gandingan No.3 dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.- UTUSAN ONLINE