Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan bahawa Jeremy sudah menghantar surat peletakan jawatannya dengan notis selama tiga bulan.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu punca sebenar peletakan jawatan Jeremy namun memberi bayangan bahawa keputusan itu dibuat atas dasar peribadi.

“Kami menerima surat peletakan jawatannya hari ini. Saya percaya dia memiliki sebab tersendiri.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada (ketua jurulatih beregu lelaki) Cheah Soon Kit. Kita perlu tunggu dan lihat apakah yang akan dilakukan Soon Kit selepas ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Keputusan Jeremy untuk meninggalkan BAM itu adalah satu lagi tamparan kepada badan induk sukan badminton negara selepas Morten Frost Hansen melepaskan jawatannya selaku pengarah teknikal.

Frost menghantar surat peletakan jawatannya dengan notis enam bulan kepada BAM pada 11 September lalu dengan memberikan alasan peribadi berhubung perkara itu.

Antara sumbangan terbesar Jeremy kepada skuad badminton negara ialah menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik Rio menerusi gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Kini skuad beregu lelaki negara akan terus dikendalikan oleh Soon Kit dan Rosman Razak. - UTUSAN ONLINE