Sehari selepas mengejutkan jaguh No. 3 dunia, K. Srikanth, pemain berasal dari Muar, Johor itu mengetepikan seorang lagi wakil tuan rumah, Sameer Verma 21-17, 21-14 dalam pertarungan 49 minit.

Iskandar, 27, yang bakal beraksi sebagai perseorangan ketiga Malaysia pada kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, 6-11 Februari ini hanya memulakan kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.36 juta) itu dari pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, daripada pemain yang tidak diberi harapan, dia kini menempah pertemuan dengan pilihan keempat dari China, Shi Yuqi pada separuh akhir esok.

Yuqi mara selepas mudah menyingkirkan pilihan keenam dari Taiwan, Wang Tzu Wei 21-13, 21-12.

Iskandar yang menghuni ranking ke-86 dunia kalah 11-21, 19-21 dalam satu-satunya pertemuan menentang pemain No. 8 dunia, Yuqi pada Terbuka Perancis, Oktober 2016.

Kecemerlangan Iskandar, yang sering dihimpit kecederaan belakang hingga menganggu permainannya bagaimanapun gagal dituruti beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

Turun sebagai pilihan keempat, Soon Huat-Shevon terpaksa akur 11-21, 19-21 kepada pilihan keenam dari China, He Jiting-Du Yue. - UTUSAN ONLINE