Iskandar, 27, yang akan turun sebagai perseorangan ketiga negara dalam kelayakan Piala Thomas, 6-11 Februari depan mengetepikan pemain harapan tuan rumah yang juga pilihan kedua, Srikanth 21-19, 21-17 dalam masa 43 minit.

Ini adalah kemenangan terbesar buat pemain yang berasal dari Johor itu selepas kembali ke saingan kompetitif sejak pulih daripada kecederaan belakang, setahun lalu.

Iskandar yang hanya menghuni ranking ke-85 dunia memulakan saingan dari peringkat kelayakan, dan dia kini akan dicabar seorang lagi pemain India, Sameer Verma pada suku akhir malam ini.

Kedua-dua pemain hanya pernah bertemu sekali pada Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2012 yang menyaksikan Iskandar menang 21-13, 14-21, 21-11. Sameer kini menduduki ranking ke-30 dunia.

Sementara itu, turut membawa cabaran Malaysia dalam suku akhir hari ini adalah beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang terus mempamer kecemerlangan selepas menyingkirkan pasangan tuan rumah, Shivam Sharma-Poorvisha S. Ram 21-10, 21-16.

Soon Huat-Shevon, pilihan keempat kejohanan bakal berdepan pasangan China yang juga pilihan keenam, He Jiting-Du Yue petang ini.

Terbuka India adalah kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 500 yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$350,000 (RM1.36 juta). - UTUSAN ONLINE