Walaupun berjaya mencatat kemenangan, namun gelaran yang diraih tidak bermakna pasukan itu menjadi pilihan utama untuk merampas kembali Piala Thomas di Bangkok, Mei ini kerana China turun tanpa pasukan terbaik apabila merehatkan juara Olimpik, Chen Long dan juara dunia lima kali, Lin Dan.

Kejohanan Berpasukan Asia yang menjadi pentas kelayakan Piala Thomas juga sudah tentu berlangsung tanpa juara bertahan Piala Thomas, Denmark yang hanya beraksi di pentas Eropah, sekali gus membuktikan persaingan sangat terbuka.

Jonatan Christie memastikan langkah Indonesia bermula baik apabila mengutip mata pertama dengan menumpaskan Shi Yuqi 16-21, 21-17, 21-18, sebelum pasangan Mohammad Ahsan-Angga Pratama menggandakan kedudukan 2-0 selepas menang 21-19, 21-18 ke atas He Jiting-Tan Qiang 21-19, 21-18.

China, juara Piala Thomas sembilan kali tetapi tidak pernah menang sejak 2012 berjaya merapatkan kedudukan menerusi perseorangan kedua, Qiao Bin yang menang mudah 21-12, 21-11 ke atas Anthony Ginting.

Bagaimanapun, Rian Agung Saputro-Hendra Setiawan yang turun selaku beregu kedua Indonesia memastikan permainan tidak diheret ke aksi kelima apabila mengesahkan kemenangan selepas mengalahkan Chengkai-Zhou Haodong 21-14, 21-19.

“Pada set pertama, jauh daripada apa yang saya fikirkan kerana corak permainan yang agak mencabar daripada segi hantarannya dan pada set seterusnya, saya mula berfikir yang kita sama-sama pemain muda.

“Kami seperti berlawan fizikal dan mental, jadi saya perlu lebih bijak mengawal permainan dan saya juga gembira kerana berjaya menjalankan tanggungjawang saya selaku perseorangan pertama,” kata Jonatan.

Indonesia masih memegang rekod sebagai juara Piala Thomas paling banyak dengan 13 gelaran, namun mereka tidak pernah menang sejak 16 tahun lalu iaitu selepas mengalahkan Malaysia 3-2 dalam final di Guangzhou, China pada 2002. - UTUSAN ONLINE