Beraksi buat kali kedua dalam aksi kelayakan, pemain berusia 22 tahun itu sedar ujian kali ini lebih getir berbanding dua tahun lalu di Hyderabad, namun sudah bersedia untuk menggalas cabaran yang diberikan.

Katanya, cabaran India tidak boleh dipandang mudah kerana mereka memiliki tiga perseora­ngan lelaki yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia iaitu K. Srikanth (No.3), H.S Prannoy (No.10) dan B. Sai Praneeth (No.16).

“Ini kali kedua yang beraksi (dalam kelayakan), sewaktu di Hyderabad dahulu adalah kali pertama tetapi sewaktu 2016, keadaan agak mudah dan sasaran yang ditetapkan tidak terlalu tinggi. Situasi kali ini sangat berbeza.

“Saya bimbang dengan cabaran pasukan India kerana perseora­ngan lelaki mereka sangat bagus tetapi kami juga boleh beraksi lebih baik daripada mereka dan saya bersedia untuk diturunkan sama ada sebagai perseorangan ketiga atau kedua seandainya (Lee) Zii Jia mengalami sebarang masalah.

“Sasaran empat terbaik di sana memang satu tekanan tetapi saya melihat perkara ini sebagai motivasi besar untuk kami membawa Malaysia ke Bangkok kerana kami juga mahu beraksi sebaik mungkin buat negara,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Skuad badminton negara kini berdepan situasi getir apabila perlu berada sekurang-kurang­nya di separuh akhir kelayakan Piala Thomas di Kedah, bulan hadapan bagi memastikan kelayakan automatik ke saingan akhir di Bangkok bermula 20 hingga 27 Mei ini.

Malaysia yang kini berada di kedudukan ketujuh dunia perlu mencapai sasaran itu atau mengharapkan Korea, China, Jepun dan Taiwan menamatkan saingan di empat kedudukan teratas bagi melayakkan diri melalui ‘pintu belakang’ berdasarkan ranking.

Seandainya Indonesia, Hong Kong dan India berada pada separuh akhir, maka Malaysia akan mencipta sejarah tersendiri apabila gagal ke saingan Piala Thomas buat kali pertama dalam sejarah.