Dalam edisi lalu di Glasgow, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu tersingkir se­awal pusingan pertama kepada pemain tidak ternama dari Perancis, Brice Leverdez dan mereka akan mengulangi semula pertemuan itu di Nanjing dalam kejohanan yang akan bermula pada 30 Julai hingga 5 Ogos ini.

Hendrawan mengakui, undian yang diterima jaguh negara itu agak baik dan Leverdez akan sekali lagi bertemu dengan Chong Wei tetapi pada masa sama mengingatkan bahawa pertandingan itu bukan sesuatu yang mudah selain semua pemain perseo­ra­ng­an lelaki dunia ketika ini ber­ada pada tahap hampir sama.

“Saya sangat bimbang dengan pusingan pertama kerana Chong Wei lambat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan situasi semasa, atas sebab itu ramai pemain utama selalu ter­singkir dalam pusingan awal.

“Dalam keadaan sekarang, kebanyakan pemain perseorangan lelaki memiliki kekuatan yang hampir sama dan itu juga menjadi kebimbangan saya.

“Semua sudah tahu bahawa Chong Wei akan berdepan Leverdez dalam pusingan pertama, jadi kita akan fokus perlawanan itu dahulu. Keadaan sekarang ini berbeza dan saya lihat tekanan itu lebih ketika ini terutama dari segi harapan serta sasaran,” katanya yang pernah menjadi juara dunia pada 2001.

Berdasarkan undian, Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan bertemu Leverdez dalam pusingan pertama dan menantinya pada pusingan kedua kemudian adalah di antara Wang Tzu Wei dari Taiwan atau pemain Kanada, Jason Anthony.

Berkemungkinan besar Anthony Ginting akan menantinya dalam pusingan ketiga dan pencabar dalam suku akhir akan ditentukan antara K. Srikanth dari India atau Jonatan Christie dari Indonesia.

“Kalau dilihat kepada undian, sekiranya Chong Wei berjaya ke separuh akhir, (Kento) Momota akan menantinya di sana.

“Kita tidak boleh lari daripada perkara itu, sudah pasti kami akan cari jalan terbaik untuk mempersiapkan Chong Wei untuk perlawanan ini,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei dan Momota terikat dengan dua kemenangan selepas empat pertemuan dengan jaguh negara itu tewas dalam pertemuan terakhir dalam Siri Jelajah Dunia 1,000 Terbuka Indonesia pada awal bulan ini.